Tuesday, June 30, 2009


Mutiara Syair Sayyi>>duna Ali bin Abi Thalibبكيت على شباب قد تولى * فيا ليت الشــباب لنا يعـودلو كان الشــباب يباع بيعا * لأعطيت المــبايع ما يـريدولكن الشـباب إذا تــــولى * على شـرف فمطلــبه بعـيدAku menangis atas masa mudaku yang telah berlalu. Aduh! alangkah enaknya kalau masa muda itu dapat kembali lagi kepada kitaSeandainya masa muda itu bisa diperjualbelikan pasti aku kan berikan kepada penjualnya apapun yang ia inginkanAkan tetapi jika masa muda itu sudah berlalu jauh dari kemuliaan maka memintanya untuk kembali lagi adalah sesuatu yang mustahil
Mutiara syair al-Imam asy-Syafi'i
إن الفقـيه هو الفقـيه بفعـله * ليس الفقـيه بنطـقه و مقاله وكذا الرئيس هو الرئيس بخلقه * ليس الرئيس بقومه و رجاله وكذا الغـني هو الغـني بحاله * ليس الغـني بملـكه و بماله
Sesungguhnya orang yang faqih itu adalah dinilai dengan perbuatannya Bukanlah orang yang faqih itu dinilai dengan ucapan dan perkataannya Begitu juga pemimpin itu adalah dinilai dengan kemuliaan akhlaknya Bukanlah pemimpin itu dinilai dengan banyaknya pengikut dan pembela-pembelanya
Begitu juga orang yang kaya itu adalah dinilai dengan keadaan (kedermawanan) nya Bukanlah orang yang kaya itu dinilai dengan banyaknya harta bendanya[Diwan Al-Imam Asy-Syafi'i, hal. 97]
فقيها و صوفيا فكن ليس واحدا * فإني و حـــق الله إيـــاك أنــــصحفذالك قاس لم يـــذق قـلــبه تقى * وهذا جهول كيف ذوالجهل يصلح
Berusahalah engkau menjadi seorang yang mempelajari ilmu fiqih danjuga menjalani tasawuf, dan janganlah kau hanya mengambil salah satunya.Sesungguhnya demi Allah saya benar-benar ingin memberikan nasehat padamu.Orang yang hanya mempelajari ilmu fiqih tapi tidak mahu menjalani tasawuf, maka hatinya tidak dapat merasakan kelazatan takwa. Sedangkan orang yang hanya menjalani tasawuf tapi tidak mahu mempelajari ilmu fiqih, maka bagaimana bisa dia menjadi baik? [Diwan Al-Imam Asy-Syafi'i, hal. 47]

Sunday, June 28, 2009

Kepentingan Adab Dalam Menuntut Ilmu

Antara kitab yang membicarakan secara terperinci tentang kepentingan adab di dalam menuntut ilmu ialah kitab yang berjudul Ta’limul Muta’allim karangan Assyaikh Burhanul Islam Azzarnuji dan ia telah diterjemahkan ke dalam jawi oleh Al-Fadhil Muhammad Syafie' Bin Abdullah Al-Fathoni yang diberi judul "Pelita Penuntut" yang banyak dijual di kedai-kedai kitab.

Pada permulaan kitab ini, Assyaikh Burhanul Islam Azzarnuji telah menulis:
“Maka apabila aku melihat ramai penuntut ilmu pada zaman kita ini bersungguh-sungguh kepada ilmu, dan mereka tidak sampai pula (tidak mendapat manfaat dan hasilnya iaitu beramal dan menyebarkannya), terhalang kerana bahawasanya mereka telah salah jalannya dan meninggalkan syarat-syaratnya. Dan setiap yang tersalah jalan akan sesat, dan tidak mendapati tujuan, sedikit mahupun banyak. Maka aku ingin dan suka menerangkan kepada mereka jalan menuntut ilmu….”

Seterusnya Assyaikh Azzarnuji pun menyebutkan adab-adab atau jalan-jalan menuntut ilmu daripada niat menuntut ilmu itu sendiri hinggalah kepada memilih guru dan rakan-rakan, pentingnya mengagungkan ilmu dan ulamak, warak dan pelbagai lagi jalan yang sebenar dalam menuntut ilmu.

Perkara di atas telah disebutkan kerana mendapati pada zaman kita hari ini, terlalu banyak (dan tentu lebih banyak lagi dari zaman Imam Zarnuji hampir 10 abad yang lalu) di kalangan kita yang mencari ilmu dengan bersungguh-sungguh, akan tetapi tidak mendapat faedah daripada ilmunya, baik untuk dirinya sendiri mahupun untuk masyarakat. Malah hari ini ramai yang bukan dari aliran agama pun ingin belajar ilmu agama. Sangat baik. Tetapi mengapa tidak didapati barakahnya?
Antara sebabnya adalah “tersalah jalan” itu sendiri. Adab menuntut ilmu sudah terlalu jauh untuk diamalkan. Ingatlah menuntut ilmu agama ini bukanlah dengan mengumpul dan menghadam maklumat di otak kita sahaja. Jika demikianlah, maka harddisk komputer jauh lebih alim dari kita semua. Di dalamnya mengandungi hampir 100 Gigabyte maklumat dari jutaan helaian kitab. Kita, berapa helai sangat dapat menghafal?
Kesalahan jalan ini biasanya berlaku pada perkara-perkara yang telah disebutkan oleh Syaikh Azzarnuji itu sendiri. Kita sebutkan tiga daripadanya:

1) Niat

- Berapa ramai di kalangan kita belajar kerana mudah bekerja dan mengumpul harta dunia nanti dengan sekeping pengiktirafan ijazah?- Berapa ramai pula yang belajar untuk menunjukkan diri lebih alim daripada orang lain?- Berapa ramai pula yang belajar untuk menjadikan dirinya dipuji dan dihormati?- Berapa ramai pula di kalangan kita yang belajar untuk mencari-cari kesalahan ulamak terdahulu?- Berapa ramai yang belajar untuk mencari bukti bahawa pendapat aku sahaja yang betul sedangkan amalan ummat Islam di Malaysia sebenarnya salah belaka?- Berapa ramai pula menutut ilmu tanpa diniatkan langsung untuk balik ke tempat masing-masing bagi berjuang menegakkan Islam?

2) Memilih guru

- Berapa ramai di kalangan kita yang tidak berhati-hati memilih guru lantas belajar dengan orang yang tidak betul pemikirannya?- Berapa ramai di kalangan kita yang belajar dengan guru yang tidak menjaga adab sebagai guru (mengutuk sana sini, mencerca alim ulamak, tidak berakhlak dalam kata-kata mahupun perbuatan dsb.)?- Berapa ramai di kalangan kita belajar sesuatu ilmu bukan dari ahlinya (belajar Feqh dari jurutera, belajar hadis dari ahli bahasa dsb.)?-Lebih teruk lagi, berapa ramai pula yang belajar tanpa guru? Membaca sana dan sini, lalu mengambil fahaman sendiri daripada penulisan ulamak.

3) Mengagungkan ilmu dan ulamak

- Berapa ramai dari kita yang mengetahui cara mengagungkan ilmu yang disebutkan oleh para ulamak terdahulu?- Berapa ramai di kalangan kita yang tidak menghormati kitab ilmu?- Berapa ramai di kalangan kita yang meletakkan ilmunya sendiri di tempat yang rendah, lalu dengan mudah boleh dijual beli dengan kepentingan dunia?- Berapa ramai pula yang tahu adab sebagai seorang murid tetapi tidak tahu atau tidak mempraktikkan adab sebagai guru?- Berapa ramai yang tidak pula tahu membezakan antara meletakkan ilmu di tempat yang tinggi dengan takabbur atau menghina diri?- Berapa ramai pula tidak reti-reti beradab dengan para ulamak agung, lalu diletakkan ulamak itu setaraf dengannya dalam pemikiran dan pemahaman dengan alasan mereka jua manusia yang tidak maksum?- Berapa ramai di kalangan kita yang terpengaruh dengan kalam beberapa kerat ustaz mee celup hari ini yang dengan lantang mengkritik ulamak silam, lalu merasa sangsi dengan para ulamak itu?- Berapa ramai di kalangan kita yang bermulut celupar mengutuk deretan ulamak yang sudah lama mengorbankan diri untuk perjuangan Islam?- Berapa ramai pula yang bermulut celupar terhadap para ulamak terdahulu dan dengan sesedap hati mengatakan ulamak terdahulu sesat, melakukan bid’ah, berfalsampah dalam bab Aqidah, dan pelbagai lagi kata nista?
Apabila kita nilai semula semua persoalan di atas, tentu sekali kita akan menjawab, “terlalu banyak.” Maka tidak hairanlah apabila kita dapati terlalu banyak orang yang ingin mendalami ilmu agama, akan tetapi jauh tersasar dari kebenaran, barakah tiada, manfaat juga sirna, lalu tidak dapat menegakkan yang haq.
Jelaslah pada kita betapa pentingnya adab dalam menuntut dan menyebarkan ilmu. Tiada adab, nescaya tersalah jalanlah kita. Salah jalan bermakna sesat. Kalau orang yang belajar agama pun boleh sesat, bagaimana pula dengan orang yang tidak mahu langsung mempelajari ilmu agama.......